THANK YOU TO ALL MY FOLLOWERS

Friday, May 25, 2012

Rezeki Bagi Yang Beriman

Salam Jumaat pada semua readers auntie yang sayang auntie
Mudah2an kita faham apa yang disampaikan..

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A‘raf ayat 96)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan memberi rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa berserah diri kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya. Sesungguhnya Allah melakukan perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah menentukan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq ayat 2-3)

Kedua-dua ayat ini menerangkan mengenai janji Allah SWT menambahkan lagi rezeki kepada orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya. Sumber alam akan tumbuh, berkembang serta semakin bertambah-tambah jika penggunanya beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Rezeki yang bertambah dari Allah SWT inilah dikatakan rezeki yang barakah (berkat). Al-Raghib al-Asfahaniy dalam al-Mufaradat fi Gharib al-Qur’an menyatakan barakah bermaksud berkembang dan bertambah.

Kunci utama untuk mendapatkan rezeki barakah dari Allah SWT ialah iman dan takwa. Keimanan kepada Allah SWT adalah kebebasan daripada memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan sesama manusia manakala ketakwaan ialah melakukan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebenarnya ketakwaan dapat mengawal segala kegiatan manusia supaya tidak melakukan tindakan keterlaluan, liar, menyeleweng, sombong dan angkuh. Bukan setakat itu, malah orang bertakwa akan dikurniakan tambahan rezeki oleh Allah SWT tanpa disedari dan diketahui.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, ‘Awf bin Malik al-Asyja‘iy datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Anakku ditangkap musuh, manakala ibunya sangat sedih dan gelisah. Apakah perintah Tuan ke atasku? Rasulullah SAW bersabda: “Aku perintahkan supaya engkau dan isterimu memperbanyakkan mengucap: “La hawla wala quwwata illa billah”. Lalu isterinya berkata: Alangkah eloknya apa yang diperintahkan Rasulullah SAW kepadamu.

Pasangan suami isteri itu pun memperbanyakkan bacaan. Pada suatu masa, ketika musuh sedang lalai, anaknya yang ditawan musuh itu dapat melepaskan diri. Dia lari dengan membawa seekor kambing yang dirampas dari pihak musuh.

Sebaik saja ‘Awf bin Malik al-Asyja‘iy melihat anaknya membawa balik seekor kambing, beliau segera pergi menemui Rasulullah SAW dan memberitahu hal itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah ia (kambing itu).”

Peristiwa itu menunjukkan Allah SWT akan menganugerahkan dua kenikmatan kepada orang yang bertakwa dan beriman kepada-Nya. Pertama, Allah SWT memberi jalan penyelesaian bagi sesuatu kesusahan hidup. Kedua, Allah SWT memberi rezeki yang tidak disangka.

Selain iman dan takwa yang menjadi kunci pertambahan rezeki, Allah SWT akan menambahkan rezeki kepada orang yang sentiasa bersyukur.



Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Sebenarnya barakah tidak hanya terhad dalam bentuk pertambahan rezeki kerana ada juga barakah yang tidak berbentuk pertambahan rezeki tetapi tetap mencukupi. Rezeki yang sedikit jika digunakan sebaik-baiknya akan membawa kebaikan, ketenangan serta kecukupan.

Jelaslah kekayaan yang terpuji atau hakiki adalah kekayaan jiwa. Maksud kekayaan jiwa ialah sentiasa merasa cukup dan puas dengan harta dianugerahkan Allah SWT. Malah tidak mempunyai keinginan dan bersikap tamak untuk menambahkan lagi harta kekayaan.

Muhammad Syukri Salleh dalam buku Tujuh Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam menyatakan rezeki yang barakah membawa kepada rasa cukup, puas, sejahtera dan bahagia. Sesiapa dikurnia rezeki sedikit tetapi barakah lebih baik daripada rezeki banyak tetapi tidak ada barakah.


4 comments:

  1. Terima kaseh, selalu tunggu hari jumaat akak akan post benda benda yang macam ni sukaaaaa.

    ReplyDelete
  2. Makchaq pun suka baca posting hari Jumaat ni.

    p.s makchaq ada post gambaq arwah mak makchaq muda2, masa dia sebaya kak nanie rupa dia seiras kak nanie...

    ReplyDelete
  3. Terima kasih untie...sellau kongsi2 hari jumaat.

    ReplyDelete
  4. mudah2an kebaikan dari perkongsian ini akan kembali semula kpd kak Nani....insyaAllah.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...