THANK YOU TO ALL MY FOLLOWERS

Friday, March 16, 2012

Awal-Awal Agama Mengenal Allah

Rasulullah SAW berjuang selama tiga belas tahun di Makkah. Itulah masa Rasulullah berdakwah dan mengumpul pengikut-pengikutnya. Mula-mula secara sembunyi-sembunyi dan kemudian secara terang-terangan. Dalam masa tiga belas tahun itu, Rasulullah hanya `membawa Tuhan` kepada para Sahabat dan memperkenalkan para Sahabat kepada Tuhan.

Dalam majlis yang rasmi atau tidak rasmi, dalam majlis keramaian, apabila berjalan-jalan dengan para Sahabat, malahan pada setiap masa dan ketika Rasulullah menceritakan tentang Allah dan hari Akhirat. Tentang kebesaran, kesucian dan kekuasaan-Nya. Tentang kasih sayang, keampunan dan belas ihsan-Nya. Tentang kuasa dan iradah-Nya dan tentang segala-gala sifat yang ada pada Tuhan.

Segala sifat-sifat Allah itu sangat-sangat dihayati oleh para Sahabat hingga mereka menjadi cukup kenal dengan Tuhan. Bukan setakat tahu, tetapi cukup kenal. Mereka menjadi orang-orang yang arifbillah. Hati-hati mereka cukup hampir dengan Tuhan, cukup sensitif dan peka dengan Tuhan. Mereka cukup terangsang dengan kebesaran dan keagungan Tuhan.

Akhirnya jadilah para Sahabat, orang-orang yang sangat cinta dan takut kepada Tuhan. Dalam hidup mereka, Allahlah yang menjadi perkara utama. Allahlah yang bertakhta di hati-hati mereka. Ramai di kalangan Sahabat yang menjadi mabuk dengan Tuhan kerana terlalu sangat takut dan rindunya. Perasaan mabuk, takut dan cinta ini sangat kuat dan mendalam hingga adakalanya hati-hati para Sahabat tidak dapat menanggung bebannya. Ada Sahabat yang terus mati kerana mengingatkan kebesaran Allah. Ada yang mati apabila ada orang menyebut nama Allah. Manakala yang jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri lebih ramai lagi. 

Bila disebut nama Allah, gementar hati-hati mereka. Namun dengan hati yang begitu mabuk dan rindu pada Tuhan, mereka tidak mempunyai jalan atau cara untuk melepaskan perasaan mereka. Mereka tidak ada cara untuk berhubung atau berinteraksi dengan Tuhan. Maka terpaksalah mereka menanggung dan memendam rasa mabuk dan rindu itu. Mereka seolah-olah orang yang begitu dahaga tetapi tidak mendapat air untuk diminum.

Mereka seperti orang yang tersangat lapar tetapi tidak ada apa untuk dimakan. Mereka seperti orang yang sangat rindukan Kekasih Agungnya tetapi tidak dapat bersua dan bertemu untuk memuji-muji dan meluahkan segala perasaan yang terpendam dan terbuku di hati. Allah biarkan sahaja mereka jadi begitu.

Hanya pada tahun yang kesebelas, baru berlaku peristiwa Israk Mikraj. Jadi, hanya pada tahun kesebelas baru datang perintah solat. Itulah satu hadiah yang tersangat besar yang Allah kurniakan kepada para Sahabat supaya mereka dapat berinteraksi dan berhubung dengan-Nya. Supaya mereka dapat melepaskan segala perasaan rindu dan dendam yang selama ini mereka tanggung. Supaya mereka dapat mengadu, berbicara, berbisik-bisik dan meminta-minta kepada Tuhan. Supaya mereka dapat meluahkan segala isi hati mereka dan bermanja-manja dengan Tuhan.

Sungguh solat itu satu kurniaan yang amat besar bagi para Sahabat. Ia ibarat air di kala dahaga. Ia ibarat makanan di kala lapar. Ia ibarat pertemuan dengan kekasih yang sangat dirindukan. Solat menjadi buah hati Rasulullah dan para Sahabat. Solat adalah kerehatan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sembahyang adalah penyejuk mataku." Baginda juga pernah menyuruh Sayidina Bilal r.a. untuk azan dengan berkata: "Wahai Bilal, berilah kerehatan kepada kita semua!"

Demikianlah kedudukan solat di hati Rasul dan para Sahabat. Tidak hairanlah mereka tenggelam di dalam solat. Mereka `mikraj` di dalam solat. Tidak hairan juga, ketika solat, mereka lupa tentang dunia ini dan segala isinya sama ada yang berupa nikmat mahupun kesusahan dunia. Mereka asyik dan masyuk dengan Tuhan dalam solat.

Sayidina Ali k.w. lantaran khusyuknya di dalam solat, tidak terasa apa-apa ketika dicabut anak panah dari betisnya. Solat mereka yang sebeginilah yang telah menjadikan mereka peribadi-peribadi agung. Agung keimanan mereka. Agung keyakinan mereka dan agung akhlak mereka. Allah kurniakan kepada mereka 3/4 dunia dan semua bangsa bernaung di bawah kekuasaan mereka. 

Mereka membawa kedamaian dan keselamatan. Mereka penuhi dunia ini dengan keadilan dan kebahagiaan. Di sini kita sungguh-sungguh dapat melihat pendidikan Rasulullah, awaludin makrifatullah. Awal-awal agama mengenal Allah. Para Sahabat dikenalkan kepada Allah hingga mereka menjadi orang-orang yang arifbillah, iaitu orang-orang yang sangat takut, cinta dan rindu kepada Allah dan orang-orang yang mabuk dengan Allah. Dalam keadaan begitulah baru mereka diperintah bersolat dan menegakkan syariat Allah yang mana keseluruhan perintah syariat itu diturunkan di Madinah itu hanya memakan masa 10 tahun, berbanding memperkenalkan Tuhan selama 13 tahun di Makkah.

Orang-orang yang menegakkan syariat Allah di Madinah itu sebenarnya ialah orang-orang yang takut, cinta dan mabuk dengan Tuhan. Orang-orang yang arifbillah. Hanya orang-orang seperti ini sahaja yang mampu menegakkan syariat Allah. Yang mampu memperjuangkan agama Allah. Yang mampu berkorban ke jalan Allah. Itulah kelemahan umat Islam hari ini. Setakat tahu tentang Tuhan. Setakat ada ilmu tentang Tuhan. Setakat alimbillah. Tuhan masih di akal, belum di hati. Belum ada rasa bertuhan. Belum ada rasa kehambaan. Jauh sekali rasa takut rindu dan cinta pada Tuhan. Lebih-lebih lagi belum mabuk dengan Tuhan.

Dalam pada itu, mereka disogok dengan solat dan syariat. Disuruh dirikan solat. Disuruh tegakkan syariat. Diperkenalkan hukum hudud dan sebagainya. Orang yang belum kenal Tuhan dan orang yang tidak ada rasa takut dan cinta pada Tuhan, tidak akan mampu mendirikan solat dan menegakkan syariat. Kalau pun mereka berbuat, ia secara terpaksa. Buat kerja secara terpaksa memang pahit, sakit dan perit.

Sukar untuk istiqomah. Kenapa tidak dibawa Tuhan kepada mereka? Kenapa tidak perkenalkan Tuhan kepada mereka? Kalau manusia betul-betul kenal Tuhan, mereka tidak akan dapat mengelak diri dari jatuh cinta dan rindu kepada-Nya. Mereka tidak akan dapat mengelak diri dari mahu berbakti kepada-Nya untuk merebut cinta dan kasih sayang-Nya.

Bagaimana boleh kita tidak sayang dan tidak jatuh hati kepada Allah yang begitu berbakti, begitu menjaga, begitu mengawasi dan memenuhi segala kehendak dan keperluan kita. Yang penuh kasih dan belas kasihan kepada kita. Yang menyayangi kita lebih dari ibu kita sendiri. Yang menjaga kita siang dan malam tanpa rehat dan tanpa tidur. Yang tidak pernah melupakan kita. 

Marilah kita kembalikan manusia kepada Tuhan. Marilah kita perkenalkan Tuhan itu kepada manusia supaya manusia kenal akan Tuhan. Kerana awal-awal agama mengenal Tuhan. Selagi kita belum kenal Tuhan, selagi itu kita belum mampu untuk beragama atau untuk menegakkan agama. Mengenal Tuhan itu tidak cukup sekadar tahu tentang Tuhan atau tahu tentang sifat-sifat Tuhan secara ilmunya, tetapi ialah merasakannya di hati.

Hati rasa bertuhan, hati merasa Tuhan sentiasa melihat, hati merasa Tuhan itu Maha Mendengar, hati merasakan Tuhan itu berkuasa berbuat apa saja kepada makhluk-Nya, hati merasakan Tuhan itu pengasih dan penyayang yang sentiasa mencurahkan rezeki kepada makhluk-Nya. Setelah hati ada rasa bertuhan, secara automatik hati akan dipenuhi rasa kehambaan, iaitu rasa lemah, rasa berdosa, rasa bergantung kepada-Nya. Hati rasa takut dan cinta dengan Tuhan sepertimana yang dirasakan oleh para Sahabat yang dididik oleh Rasulullah lebih 1400 tahun dahulu. 






4 comments:

  1. Replies
    1. Salam Sharifah,

      Y u most welcome

      Delete
  2. thanks for sharing auntie. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam gadisBunga,

      Sama2lah kita menafaatkan nye..
      Sama2 kasih..

      Delete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...